KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan melaksanakan operasi pembenihan awan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang bagi menyelamatkan kawasan bendang padi di negeri ini yang semakin kontang akibat cuaca panas.

Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang melakukan persiapan termasuk menghubungi pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk tujuan itu.

Menurut beliau, permohonan pembenihan awan terbabit dibuat pada 26 Mac lalu oleh pasukan Task Force Kemarau KADA yang baru sahaja ditubuhkan dan pelaksanaannya perlu disegerakan.

“Cadangan pembenihan awan ini sudah mendapat persetujuan daripada KPKM.

“Cuma sekarang menunggu masa sesuai untuk dilaksanakan berdasarkan keadaan cuaca yang akan ditentukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Program Makan Colek Pengerusi KADA bersama Media di Baan Suwarin di sini, pada Khamis.

Menurut Muhammad, keutamaan akan diberikan ke kawasan kritikal sumber air iaitu Kota Bharu merangkumi sawah seluas 2,000 hektar.

Kawasan terbabit bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari Pam Kemubu yang kini tidak berfungsi kerana paras sungai susut.

Katanya, waktu sekarang adalah paling sesuai untuk dilaksanakan pembenihan awan kerana mempunyai kapasiti awan yang banyak tetapi tiada hujan untuk menangani masalah pengairan sawah.

“Setakat ini, kawasan sawah yang mengalami kerosakan adalah seluas 5,600 hektar melibatkan Kota Bharu Utara dan Selatan, Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas dengan jumlah 800 hektar musnah sepenuhnya dan tidak dapat diselamatkan.

“Keseluruhan kawasan KADA adalah seluas 26,000 hektar dan kami berharap proses pembenihan awan ini akan segera dapat dilakukan bagi menyelamatkan padi-padi yang lain,” katanya.

Tambah beliau, KADA mengalami masalah utama ketika ini apabila kebanyakan telaga tiub yang dibina tidak dapat membekalkan air kerana kemarau.

Menurutnya, walaupun telaga tiub dalam jumlah yang banyak, namun masih tidak mencukupi kerana kering air semasa musim panas.

“Sebelum ini sebuah telaga tiub mampu menampung sehingga 4.7 hektar sawah tetapi sekarang tidak sampai 1.2 hektar pun.

“Untuk jangka masa panjang, KADA akan memohon bajet daripada KPKM bagi pelaksanaan cadangan lain manakala pembenihan awan ini ialah langkah penyelesaian jangka masa pendek,” katanya. - Sinar Harian